Karenah Kita Orang Kota.

Started by Dr Amir Hamzah on Tuesday, December 14, 2010

Participants:

Showing all 1 post
12/14/2010 at 11:13 PM

Saya dan isteri saya Norma seperti biasa membeli bekalan makanan mingguan di awal setiap pagi Sabtu di pasaraya berhampiran rumah kami (jika tidak ada aral). Pasaraya itu merupakan rangkaian agung dari luar negara yang berniaga di negara kita. Biasanya kami tiba seawal jam 8.30 pagi sekembali dari menghantar Nisha ke tempat kerjanya di Wisma MCA Jalan Ampang.

Pada kebiasaannya seawal itu masih belum ramai pelanggan tiba di pasaraya. Walau bagaimanapun ramai personaliti pelanggan tetap yang sama kerap kami tembungi di lokasi yang sama. Mereka juga datang awal seperti minggu-minggu sebelumnya. Bezanya ialah kami tidak bertegur sapa dengan mereka, kerana kami tidak tahu siapa mereka sebenarnya dan mereka tidak tahu siapa kami.

Dalam keadaan impasse sedemikian, kalau dikira main bola: 0-0 lah. Kalau dikira dalam bab Sosiologi: Aku tak kenal kamu, tak perlu tegur dan kamu tak kenal aku, kamu tak perlu tahu. Orang sekarang kata: Square. Ada juga yang kata: Settle. Jadi tidak ada sesiapapun ‘berhutang’ kepada sesiapa. Jika diperamati, slogan yang paling tepat di dalam konteks ini ialah: Padan muka kita semua…

Pernah terjadi satu episod yang menarik semasa saya hendak membayar ongkos belian yang terhimpun di dalam troli. Setelah barangan semua diatur di atas mejaputar, satu demi satu barang belian diimbas oleh kasyer untuk penjumlahan harganya. Tiba-tiba telefon berdering dan kasyer melayan panggilan itu dengan khusyu’ sambil tangannya terus-menerus membuat imbasan.

Saya tidak dapat mendengar apa yang diucapkan oleh pemanggilnya, tetapi jawapan daripada kasyer itu yang dapat saya dengar dengan nyata, lebih kurang berbunyi begini:

… kau kena ikut kata laki kau…
Kau kena dengar cakap mak mentua kau…
Tak ada mak mentua tak ada lah laki kau…
Eh… hormat sikit, aku tak pun pernah cerita bab tu dengan laki kau.
Laki kau yang sebok bagi tau laki aku…
Dah dah dah… kau mintak maaf je la dengan dia,..
Bawak dia pegi tengok wayang… sekarang tengah cerita Hantu Congkak.
Lepas tu pegi makan sate Kajang… gerenti beres.

Soalnya ialah: Wajarkah saya sebagai pelanggan dihidangkan dengan cerita a-la seluar dalam sedemikian?

Sepatutnya kasyer tu melayan kami, bercakap dengan kami. Apa yang berlaku, dia jadikan kami macam tunggul di depannya, menelinga (walaupun kami tak hingin) segala butiran apa yang dituturkannya.

Saya yakin pasaraya yang gah itu telah memberi latihan yang secukupnya supaya pekerja-pekerja mereka (terutama para-kasyer) melayan pelanggan dengan keutamaan yang tinggi supaya dapat mencapai, Lebih Kurang: Pelanggan Didahulukan, Kutip Duit Diutamakan (macam pernah dengar je slogan tu…).

Showing all 1 post

Create a free account or login to participate in this discussion