Disiplin.

Started by Dr Amir Hamzah on Friday, December 24, 2010

Participants:

Showing all 1 post
12/24/2010 at 11:32 PM

Disiplin adalah satu isu yang mujarad. Mudah diucap tetapi apakah hakikat di sebaliknya? Kita jenuh menekankan supaya disiplin diterapkan di setiap liku kehidupan demi mempastikan hari-hari yang kita lalui dijamin terkawal, teratur, tertib, dan sempurna.

Dalam ertikata lain, Disiplin lah yang mengawal tingkah-laku dalaman manusia supaya akur dan selesa dengan budaya/peraturan yang telah dipersetujui sama ada secara individu ataupun kolektif, hatta secara lisan atau bertulis.

Para pengkaji bidang sosiologi telah membuat kesimpulan bahawa kaedah tentukuran mudah bagi menentukan tahap disiplin seseorang pekerja ialah kehadirannya ke tempat kerja.

Misal kata, jika waktu kerja bermula pada jam 9.00 pagi, pukul berapakah dia muncul? Adakah dia awal, tepat pada waktunya, ataupun lewat dari masa tersebut?
Kelewatan tiba sudah pasti menunjukkan tahap disiplin yang negatif. Walau bagaimanapun, jika ia terjadi sesekali sahaja, ia masih tidak tergolong di dalam kategori tidak berdisiplin tegar. Kerana mungkin wujudnya penyebab yang dia tidak boleh hindari yang menyumbang kepada kelewatan itu. Sebaliknya, jika ia menular menjadi kelumrahan, maka ini boleh digolongkan sebagai pekerja yang sah tidak berdisiplin.

Mengapa tidak berdisiplin datang lewat ini perlu dirawat (segera) sebelum terlewat dan melarat?

• Dari kacamata institusi ia boleh menggugat produktiviti.
• Dari kacamata sosiologi pula berkemungkinan ramai pekerja lain yang beminat meniru karenah si-datang-lambat ini sebagai satu pola yang ditanggap boleh diterima oleh institusi.
• Dari kacamata para pengaudit pula, ia merupakan satu kecacatan yang boleh diselesaikan. Justeru, jika sekiranya ia dibiarkan berlarutan tanpa tindakan, maka ia adalah satu kelemahan di pihak pengurusan.

Soalnya; bersediakah pihak pengurusan menerima label tersebut?

Sebagai sebuah institusi (yang lazimnya jauh lebih kecil daripada sebuah negeri) adalah memalukan jika sekelumit masalah mujarad sekecil itu tidak dapat diatasi. Itulah sebabnya, tindakan keras wajar diambil ke atas yang engkar.

Showing all 1 post

Create a free account or login to participate in this discussion