Garapi Fe'el Yang Syumul.

Started by Dr Amir Hamzah on Monday, August 8, 2011

Participants:

Showing all 1 post
8/8/2011 at 7:10 PM

Alkisah, di zaman dulu-dulu perkara berkaitan sikap yang satu ni orang enggan bangkitkan. Tak mahu nak persoalkan secara sembrono. Hatta, ia dianggap bukan satu isu langsung. Takut-takut, kalau tanya nanti orang kata dia pelahap, tak menyabar-nyabar, dan sebagainya.

Mungkin zaman tu cara hidup santai dan senggang; senang-lenang tanpa serabutan dengan perkara-perkara yang simpang-perenang seperti sekarang. Mungkin juga kerana kelurusbendulan sikap dan kesyumulan cara berfikir pada masa itu. Orang kita kan?

Pada masa tu, tidak ada (mungkin ada, tetapi nuun jauh di tempat lain) TV yang nak tayang imej menggerunkan. Tiada radio nak meuar-uarkan berita yang separa betul, berita semerta yang boleh mengerutkan riak air muka seseorang dan mengerohkan ketulusan caranya berfikir hingga menjadi berserabut.

Umumnya, isu-isu itu memberi kesan minimum (ada kalanya nihil) kepada kita rakyat marhaen. Kerana banyak lagi benda-benda lain yang lebih relevan di dalam menjalani hidup.

Reaksi masyarakat setempat menerima isu-isu sedemikian tidak memberi impak terus kepada perkiraan hidup kita. Bak kata orang putih – BAU. Keadaannya adalah: it’s Business As Usual.

Tetapi pada masa kini, oleh kerana sudah ramai para intelek yang bijak pandai, setiap isu yang didengar, akan dipersoalkan hubungkaitnya dan kesannya kepada dirinya, keluarganya, persekitarannya, negaranya, malah generasinya yang akan mendatang (yang dia tak patut nak risau sangat pun. Itu urusan Allah).

Tetapi, persoalan yang satu ini selalu timbul di benak orang-orang yang berkepentingan. Di dalam bahasa Inggeris ia dikatakan: What’s In It For Me (WIIFM)? Terjemahan ke dalam bahasa Melayu sudahpun diterima sebagai AHA (bukan Amir Hamzah Albakri) yang membawa maksud: Apa Habuan Aku?

Apa hasilnya untuk dia? Apa yang dia dapat? Akibatnya, jika ia tidak memberi sebarang manfaat kepadanya, maka tidak adalah pergerakan wajar seterusnya. Dia pukul lihat dan dengar sahajalah…

Soalnya, wajarkah kita bersikap sedemikian? Sentiasa hendakkan habuan… Bolehkah kita tinggalkan saja tatacara kehidupan semacam itu dan terus menerus menikmati keseronokan di dalam kesantaian dan kesenggangan kita?

Tepuk dada dan tanya…

Showing all 1 post

Create a free account or login to participate in this discussion