Asslm Pg Bujang,
Mohon maaf, buat masa ani, ani tah saja maklumat yang diperolehi:
Abdul Rajid adalah anak kepada Orang Kaya Besar Pg Anak Kasim dengan pasangannya Bu Pasaira. Beliau merupakan pancir daripada salasilah Al-Marhum Sultan Saiful Rijal [Sultan Brunei ke-7, 1533-1581] dengan pasangan baginda daripada suku kedayan yang diam di Jerudong pada masa baginda beristana di Pulau Raja, Jerudong. Cucunda baginda ini terkenal gagah dan kuat mempunyai perwatakan dan bentuk tubuh badannya tegap, gempal dan tinggi lampai, terkenal dengan nama Si Rajid. Pada masa perselelisihan faham berlaku di antara Sultan Nasruddin dengan Pg Temenggong Pg Muda Besar Muhammad Shamsuddin ibni Sultan 'Abdul Jalilul Jabbar yang terkenal dengan nama Pg Temenggong Raja Di-Gayoh, yang kononnya dikatakan mempunyai kepandaian tertentu dan dikhabarkan hendak berkuasa sendiri (membelakangi Sultan Nasruddin). Mendengar perkhabaran yang kurang menyenangkan itu Sultan Nasruddin kurang gembira, lalu baginda pun bermesyuarat dengan para pembesar baginda mencari jalan untuk mengatasi persoalan itu. Dalam permesyuaratan itu timbullah nama 'Si Rajid' yang boleh mengatasi dan mampu menyelesaikan masalah tersebut. Si Rajid juga dikatakan mempunyai kepandaian ilmu kebal kerana ia boleh berjalan di atas api.
Diceritakan selesai sahaja mesyuarat tersebut, 'Si Rajid' pun dipanggil mengadap ke Istana. Tatkala Sultan Nasruddin bertanya kesanggupannya untuk berlawan dengan Pg Temenggong Raja Di-Gayoh, maka dijawabnya, kalah menang bergantung kepada daulat dan tuah badan. Maka dalam perlawanan itu, ia dapat mengalahkan Pg Temenggong dan untuk mengenang jasa dan derma bakti yang telah disembahkannya itu, maka pada hari itu juga, ia telah diarak oleh Sultan Nasruddin menjadi Wazir yang membawa gelaran Pg Temenggong Sahibul Bahar kerana ia adalah generasi ketiga berpangkatkan cucunda kepada Sultan Saiful Rijal. Disebutkan beliau telah diarak menjadi Pg Temenggong secara diarikkan (dilaung-laungkan). Semasa hayatnya, Pg Temenggong Rajid berkahwin dengan anak perempuan Pg Bendahara Pg Aliuddin (pancir keturunan Sultan Abdul Jalilul Jabbar) beranakkan antara lain Pg Badaruddin, Pg Tahir, Pg Wani, Pg Dipa, Pg Abd Hamid, Pg Jamaliah, Pg Abd Rakib, Pg Abd Arif, Pg Abd Raid, Pg Said, dan Pg Rubiah. Beliau dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Kianggeh, Bandar Seri Begawan. Daripada penyelidikan ahli-ahli Pusat Sejarah Brunei yang dilakukan ke atas batu nisan Pg Temenggong Rajid didapati bahawa batunya diperbuat daripada jenis batu pasir (sandstone) dan bertambak. Batu nisan ini tidak mempunyai sebarang inskripsi tetapi terdapat ukiran pada bahagian atas nisan diukir dengan hiasan 'Daun Lukut'. Ukiran pada nisan ini sama terdapat pada ukiran Makam Sultan Bolkiah di Kota Batu. Melihat keadaan ciri-ciri bentuk ukiran pada batu nisan Pg Temenggong Rajid menunjukkan bahawa makam ini dimiliki oleh seseorang yang mempunyai status tinggi suatu ketika dahulu.
والله أعلمُ