Haji Mohd Redza Hj Muhammad Said

Is your surname Hj Muhammad Said?

Research the Hj Muhammad Said family

Haji Mohd Redza Hj Muhammad Said's Geni Profile

Share your family tree and photos with the people you know and love

  • Build your family tree online
  • Share photos and videos
  • Smart Matching™ technology
  • Free!
view all 37

Immediate Family

    • Private
      spouse
    • Private
      child
    • Private
      child
    • Private User
      child
    • Private
      child
    • Private
      child
    • Private
      child
    • Private
      child
    • Private
      child
    • Private
      child
    • Private
      child

About Haji Mohd Redza Hj Muhammad Said

Al Marhum Dato’ Haji Muhamad Redza

   Bin Al Shaikh Haji Muhamad Said

1. Al Marhum Dato’ Haji Muhamad Redza Bin Shaikh Haji Muhamad Said telah dilahirkan di Ampangan, Seremban dalam tahun 1912. Beliau adalah abang yang tua dari lima adik beradik seibu sebapa dan saudara yang ke lima dari enambelas adik beradik sebapa. Ibunya bernama Aminah Bt Deli dan bapanya bernama Shaikh Haji Muhamad Said Bin Shaikh Haji Jamaluddin al Linggi, (nisbah kepada Bandar Linggi di Daerah Port Dickson,) sheikh kepada Tarikat Ahmadiah Rasyidiah Dandarawiah (selepas ini Tarikat Ahmadiah) di Malaya dan di Asia Tenggara. Deli dan Haji Jamaluddin adalah senak ibu, yang memberi erti, Aminah dan Shaikh Haji Muhamad Said adalah dua pupu.

2- Saudara kandung al Marhum seibu sebapa ialah, Haji Mahdi, Shaikh Muhammad, khalifah ke tiga Tarikat Ahmadiah (1964-1990); Hajah Rabi’ah, dan Hajah Fatimah. Saudara-saudara sebapa pula ialah Shaikh Abdullah, khalifah pertama Tarikat Ahmadiah (1926-1960); Shaikh Ahmad, khalifah ke dua Tarikat Ahmadiah (1960-1964); Shaikh Mansur, Shaikh Abdul Rashid, Haji Muhamad Nor, Shaikh Hamid, Haji Taufiq, Hajah Rahimah, Haji Ibrahim, Hajah Noor dan Hajah Mariam.

3- Al Marhum telah berkahwin dengan Datin Hajah Noriah binti Haji Abdul Kudus pada tahun 1939. Mereka dikurniakan dengan sebelas orang anak, tiga orang anak perempuan dan lapan orang anak lelaki. Nama anak-anak al marhum mengikut urutan kelahiran ialah Hajah Rosnah, Hajah Mastura, Fadhlullah, Haji Sa’adullah, Haji Aminullah, Haji Abu Ubaidah, Mohd Fauzi, Usamah, Mohd Isham, Hajah Umi Habibah dan Mohd Said.

4- Al Marhum menghembuskan nafas terakhir pada waktu zohor, kira-kira jam dua petang 29hb Ramadhan 1413 Hijriah bersamaan dengan 3hb April 1992 di rumahnya di Kampung Bukit, Batu 1 ¾ Jalan Sikamat, Ampangan, Seremban. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Shaikh Muhamad Said, Seremban bersama-sama dengan ayah dan bondanya serta adik-beradiknya. Semasa meninggal dunia al Marhum meninggalkan empat puluh dua orang cucu dan beberapa orang cicit.

Nasab Keturunan

5- Salsilah nasab keturunan Al Marhum ialah Muhamad Redza Bin Muhamad Said Bin Jamaluddin Bin Idris Bin Abdul Mukmin bin Nakhoda Muhammad. Nakhoda Muhammad ini adalah seorang pedagang dan ulama berasal dari Minangkabau dan berketurunan Arab yang salasilah nasabnya berakhir dengan Abdullah ibn Al Abbas, sahabat dan sepupu Junjungan kita Nabi Muhammad (s.a.w). Shaikh Muhamad Said dan Shaik Jamaluddin adalah dua ulama besar alam Melayu yang bernaung di Makah al Mukarramah sehingga kedua-duanya, disamping mengajar ilmu agama, diangkat kedudukan mereka menjadi imam sembahyang di Masjid al Haram bagi pengikut Mazhab Safei. Mereka berdua merupakan anak Melayu terawal memegang kepimpinan tersebut.

6- Salur galur nenek sebelah bapanya, Wan Safiah pula bercantum dengan wali Allah dan ulama-ulama besar di Fatani, seperti Shaikh Abdul Rashid Fatani yang makamnya terletak di Pulau Bidan, Yan, Kedah (kini dipindahkan ke perkuburan Masjid Yan); sementara ibu kepada Shaikh Jamaluddin, Rahimah adalah keturunan penulis dan panglima-panglima Bugis, seperti Raja Haji dan Daeng Kemboja yang berjuang menentang penjajahan Belanda di Melaka. Rengkasnya, Al Marhum adalah dari campuran keturunan suku Minangkabau, Bugis dan Patani yang merupakan pejuang dan ulama serta ahli siasah/politik.

Pendidikan

7- Al Marhum mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ampangan. Beliau meneruskan pengajian bersama ayahnya di Madrasah Pondok Shaikh Muhamad Said di Kampung Bukit Ampangan sehinggalah kewfatan ayahandanya dalam tahun 1926. Pada akhir tahun yang sama Al Marhum bersama abangnya Shaikh Ahmad, yang kamudiannya dilantik menjadi Mufti pertama Kerajaan Negeri Sembilan dan adik-adiknya Shaikh Mansur, Haji Taufik dan Haji Mahdi telah berangkat ke Arab Saudi untuk menimba ilmu. Di Makah, beliau menetap di rumah wakaf ayahnya, Shaikh Muhamad Said di Sa’ab Ali dan belajar di Madrasah Darul Ulum. Antara guru-guru beliau ialah Shaikh Wan Ismail bin Wan Abdul Kadir bin Mustafa al Fatani, yang tersohor dengan gelaran Pak Da El, Shaikh Shafie yang digelar Tok Pei Kedah dan Shaikh Ali Maliki. Beliau juga berguru dan mengambil bai’ah, disamping ayahnya, dengan Sidi Shaikh Abul Abbas ibn Sidi Shaikh Muhammad al Dandarawi, iaitu Shaikh Tarikat Ahmadiah Rashidiah Dandarawiyah di Makah al Mukarramah.

8- Walaupun ilmu agama, syariat dan tasawwuf merupakan matlamat utama di dalam pendidikan yang dilalui di Makah, namun demikian, al Marhum tidak melepaskan peluang belajar dari penduduk Makah ilmu masakan Arab, khususnya nasi minyak, nasi Bukhari dan masakan lauk seperti daging kurma dan kari kambing serta sup kaki/tulang dan daging panggang/goring. 9- Setelah enam tahun bermaustautin di Makah beliau mematuhi ajakan abangnya, Shaikh Ahmad kembali ke Tanah Melayu, walaupun hatinya berat ingin bernaung untuk beberapa tahun lagi. Menurut al Marhum, kesempitan keawangan merupakan faktor utama abangnya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaya.

Pekerjaan

10- Sampai kembali ke Tanah Melayu dalam tahun 1933, beliau membantu abang tuanya, Shaikh Abdullah yang mempunyai Sekolah Pondok di Batu Dua Jalan Jelebu Ampangan.

11- Di dalam masa yang sama beliau memulakan usaha penternakan lembu dan kerbau yang akhirnya beliau menjadi pembekal dan penjual daging lembu dan kerbau di pasar Besar, Seremban. Penternakan dan perniagaan ini sangat berjaya sehingga beliau memiliki bukan sahaja lembu, kerbau dan kambing, tetapi dua ekor kuda. Sebagai pembekal daging lembu, beliau telah membeli lembu dari Kelantan, Kedah, Patani di Siam, malahan dari Sumatra untuk kegunaan pasaran tempatan dan diekspot ke Singapura. Pekerjaan ini diteruskan hingga keakhir hayat beliau.

12- Disamping menternak untuk pemasaran, al Marhum juga sentiasa menternak lembu kereta dan lembu susu di kandang rumahnya untuk kegunaan pengangkutan dan minuman harian keluarganya. Beliau sendiri mempunyai kemahiran memerah susu lembu dan kambing, menjadikannya tairu/yourgat dan minyak sapi. Ini menjadi sumber pendapatan tambahan kepadanya. Dalam usia yang bagitu muda, 21 tahun, beliau telah menjadi ketua keluarga dan sumber rezeki bagi ibu dan adik-adik seibunya. Kemahiran beliau di dalam ilmu penternakan mengajarnya cara-cara mengubati penyakit mulut dan kuku. Ketika krisis wabak penyakit tersebut melanda Kelantan dalam tahun 1960han, beliau meluahkan rasa tidak bersetuju dengan tindakan pihak Jabatan Haiwan yang mengambil jalan mudah membunuh haiwan tersebut. Menurut al Marhum, ternakan tersebut boleh diselamatkan dengan mengurungnya dan disapukan dengan minyak masak yang diperbuat dari kelapa.

13- Disamping penternakan, al Marhum juga aktif mengambil kontrak menyediakan makanan untuk upacara rasmi di perengkat daerah dan negeri. Beliau juga memberi khidmat sosial seperti menyediakan masakan nasi minyak/nasi Bukhara untuk kenduri kendara dan perkahwinan anggota keluarga dan kaum kerabatnya serta majelis mauled di masjis-masjid Seremban dan Ampangan. Kepakaran masakan beliau yang diperolehi semasa berada di Makah ini menjadi sumber pendapatan tambahan bagi dirinya. Di samping itu beliau melatih anak-anak muda tempatan mendalami ilmu masakan ala Arab. Kehebatan maskannya menjadikan beliau pilihan utama untuk majlis rasmi di masjid-masjid dan di rumah orang kenamaan seperti, Menteri Besar dan Datuk Kelana. Justru, beliau menjadi kontraktor makanan terkenal ketika itu. Oleh kerana sedapnya masakan beliau, menurut Senator Rahim, Toh Puan Raha, ketika itu bersama Tun Abdul Razak menekmati jamuan malam di rumah Dato Mansur, telah mencadangkan majlis-majlis makan di Kuala Lumpur dibekalkan dengan masakan dari Seremban. Saranan Toh Puan itu telah beliau tolak atas alasan kos pengangkutan yang tinggi dan jarak yang jauh; seperti yang dieksperasikan oleh Senator Abdul Rahim: ‘mahal rantai dari berok’.

Kerjaya Politik

14- Apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau ‘United Malay National Organization’ (UMNO) ditubuhkan untuk menentang Malayan Union dalam tahun 1948, Al Marhum telah turut aktif menubuhkan UMNO di Seremban. Sebagai seorang peniaga yang berjaya, Al Marhum mempunyai sumber keawangan yang kukuh bagi membiayai penajaan penubuhan UMNO dan aktiviti sosio-politik dan agama yang dijalankannya. Sebagai seorang yang bertaraf ulama dan anak kepada Al Marhum Shaikh Muhamad Said maka dengan muda beliau dapat diterima masyarakat tempatan sebagai ketua UMNO Bahagian Seramban.

15- Sumbang bakti al Marhum kepada rakyat dan parti diterima baik oleh masysrakat dan pemimpin UMNO. Al Marhum menjadi seorang pemimpin tempatan yang dipercayai rakyat dan parti. Tengku Abdul Rahman, yang ketika itu Pengerusi UMNO telah menawarkan al Marhum menjadi duta Malaysia di Arab Saudi setelah Malaysian mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957. Tengku juga telah memilih beliau untuk bertanding di dalam pilihanraya 1959, pilihanraya pertama negara apabila pilihanraya diistiharkan. Di dalam pilihanraya itu, Al Marhum telah mendapat kemenangan besar menewaskan En. Baba Lodek dari Parti Negara di kawasan Parlimen Rembau /Tampin.

16- Dalam tahun 1964, Parti UMNO sekali lagi memilih al Marhum sebagai calonnya untuk bertanding di kawasan yang sama. Kali ini beliau telah menewaskan En. Abdul Rahman Muhammad dari Parti Rakyat. Kesungguhan dan didikasi al Marhum menjaga kawasan pilihanrayanya sangat disenangi rakyat. Apabila pilihanraya 1969 diadakan, calon UMNO yang menggantikan beliau pada ketika itu, Dr Sulaiman telah memenangi kawasan Parlimen itu tanpa dicabar calon pembangkang.

17- Untuk Pilihanraya 1969, UMNO telah memilih al Marhum bertanding bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri, Terentang di bawah kawasan Parlimen Rembau/ Tampin. Beliau telah memenaginya dan seterusnya, atas arahan Tun Abdul Razak dipilih menjadi Ahli Eksco Kerajaan Negeri. Menurut al Marhum, Datuk Mansur tidak berapa berminat untuk melantiknya, tetapi surat arahan dari Tun memaksa beliau melantiknya ke jawatan tersebut.

18- Kepimpinan al Marhum di dalam UNMO bukan sahaja terhad di peringkat Bahagian. Malahan kepimpinannya diiktiraf di peringkat nasional. Beliau bersama Tun Dr Ismail Abdul Rahman, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO serta Tun Sadon Jubir dan Tun Abdul Gafar Baba, masing-masing ketika itu Menteri Pengangkutan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar disamping Naib-naib Presiden UMNO adalah anggota Jawatankuasa Disiplin UMNO bagi kawasan Selatan Semenanjung. Ini merangkumi negeri-negeri Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

19- Pemimpin pemimpin pusat UMNO, khususnya Tun Abdul Razak merujuk kepada al Marhum untuk memilih calon parti yang akan bertanding di dalam pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, disamping menjadi rujukan bagi mengatasi kerisis dan kekalutan politik yang berlaku di negeri ini. Apabila Dr Sulaiman, wakil Parlimen Rembau/Tampin meninggal dunia, Tun telah mengemukakan tiga nama untuk sebagai calon penggantinya. Mereka ialah Datuk Sulaiman Alias, seorang peguam; Datuk Idris Haji Ibrahim, ketika itu Pengurus Besar Tabung Haji; dan Datuk Mukhtar Hashim, seorang pengurus ladang. Al Marhum telah menyatakan pandangan beliau bahawa beliau tidak berkenan dengan Datuk Mukhtar kerana keturunannya. Beliau tidak dapat memperakukan Datuk Idris kerana pertalian kekeluargaannya sebagai anak buah al Marhum dan Datuk Sulaiman pula kerana mempunyai hubungan persemendaan dan kekeluargaan dengan isterinya, Datin Noriah. Beliau memberikan Tun budibicara untuk membuat pilihan. Menurut al Marhum, Tun telah memilih Datuk Mukhtar atas permintaan Dato Harun Idris, Ketua Pemuda UMNO ketika itu.

20- Di awal tahun 70an, Dato’ Mansur Othman, Menteri Besar Negeri Sembilan menghadapi tentangan dari komplot yang ingin menjatuhkannya dari kerusi menteri besar. Dato Yazid Baba, ADUN Rembau berusaha menjatuhkannya dan mengambil jawatan Menteri Besar. Tun yang menghadapi kebuntuan, telah menghantar En. Khalil Akashah, setiausaha kerja UMNO untuk mengatasi krisis tersebut. Setelah berunding dengan berbagai fraksi politik di Negeri Sembilan, Tun lantas mencadangkan kepada al Marhum untuk memegang jawatan tersebut. Al Marhum memberikan jawapan yang mengejutkan Tun dengan pertanyaan “ apa Tun dah gila ke?” Sokongan padu al Marhum kepada Menteri Besar Dato’ Mansur, dan sebelum itu kepada Dato’ Dr. Muhammad Said menjadi factor utama kesetabilan politik negeri ini. Ini terbukti, apabila Datuk Mansur menggugurkan al Marhum dari pencalunan pilihanraya 1974, maka beliau telah kehilangan tunggak yang melindonginya dari musuh-musuh politiknya. Akibatnya, Datuk Mansur dijatuhkan dari jawatannya apabila Perdana Menteri menggugurkannya dari pencalonan DUN 1978 dan bertanding untuk kerusi Parlimen Kuala Pilah sahaja.

21- Hubungan beliau dengan Tun sangan intim, malahan menjadi orang kepercayaannya di Negeri Sembilan. Menurut al Marhum, Tun sebagai Menteri Pertahanan juga pernah meminta beliau membekalkan songkok kepada tentera Malaysia. Tun yang melihat banyak kedai-kedai songkok di Jalan Paul yakin al Marhum mampu menjadi pembekalnya dan dengan itu dapat membantu keawangan UMNO Negeri. Tun juga pernah menawarkannya jawatan Pengerusi Maju Ternak yang ditubuhkan dalam tahun 1972. Tun melihat beliau sebagai seorang mempunyai pengalaman luas dibidang penternakan akan dapat membantu negara. Kedua-dua tawaran ini telah beliau tolak.

22- Sebagai pemimpin kanan parti UMNO di Negeri Sembilan, Tun Abdul Razak telah menjadikan al Marhum sumber rujukan untuk mengetahui keperibadian dan kecenderongan pemimpin-pemimpin tempatan terhadap pemimpin pusat. Ini sekali gus digunakan untuk memilih bakal-bakal calon yang akan mewakili UMNO Negeri Sembilan di dalam kabinet kerajaan pusat atau di dalam Dewan Negara. Saranan dari al Marhum mudah sahaja diterima Tun. Antara pemimpin UMNO yang menjadikan beliau sebagai ‘referee’ ialah Tan Seri Sanusi Junid. Sebelum Tan Seri Sanusi bertanding di dalam pilihanraya 1974, Tun telah memintanya nama pemimpin UMNO yang boleh menyatakan dirinya adalah seorang pemimpin UMNO yang baik. Sanusi tanpa ragu-ragu telah memberikan nama al Marhum. Di dalam membuat pilihan calon/pemimpin, Tun dan beliau sepakat menyatakan bahawa bakal calon mestilah diketahui asal usul keturunannya dan datang dari keluarga orang-orang baik.

23- Al Marhum juga terlibat secara aktif membantu calaon-calon UMNO yang bertanding, bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga di Negeri Melaka dan Pahang. Kehadiran beliau di dalam kampin-kampin tersebut melemahkan calon lawan dari parti Pas. Al Marhum, sebagai ulama dan anak kepada Shaikh Muhammad Said yang mempunyai ribuan murid dan pengikut di negeri-negeri tersebut, dengan mudah dapat memberikan kekuatan kepada calon-calon UMNO.

24- Sebagai seorang ulama di dalam UMNO, beliau kerap kali dirujuki oleh Al Marhum Tun Abdul Razak untuk mendapatkan nasihat bagi menangani pergolakan politik nasional antara UMNO dan PAS serta mengatasi masalah pentadbiran yang berkaitan dengan hukum hakam agama. Satu contoh terbaik dalam hal ini ialah wang lotri Kebajikan Masyarakat. Ulama ketika itu menentang penggunaan wang tersebut untuk membena masjid. Tun telah mendapatkan pandangan al Marhum dalam hal ini. Al Marhum pula telah mendapatkan pandangan abangnya, Shaikh Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, yang juga memberikan fatwa yang sama. Bagaimana pun, apabila al Marhum menyarankan kepada Mufti, bahawa wang tersebut lebih dahulu dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara, maka ketika itu Mufti menjawab: “kalau bagitu bolehlah”. Ini memberi makna bahawa wang dari perbendaharaan boleh membena masjid walaupun sumber hasil negara mungkin datang dari sumber yang tidak halal. (Menurut al Marhum, Tuan Mufti tidak memberikannya idea tersebut, justru sifat tawaduk dan waraknya. Kesetujuan beliau adalah berasaskan tindakan Saidina Umar al Khatab memasukkan hasil ternakan babi ke dalam khazanah negara dan dari situ diagihkan kepada mereka yang berhak mendapat bahagiannya.)

25- Semasa menjadi wakil Dewan Rakyat, wakil Dewan Undangan Negeri dan jawatan Eksco Kerajaan Negeri beliau berkesempatan memberi khidmat kepada penduduk Rembau/Tampin, dan Seremban dengan menyediakan jalanraya dan mengagaihkan tanah-tanah perumahan serta rumah kos rendah kepada penduduk tempatan. Beliau juga sentiasa bersedia memberikan surat perakuan dan menjadi penjamin kepada pemegang biasiswa yang melanjutkan pengajian di universiti. Beliau turut dilantik sebagai anggota Majlis Agama Islam Negeri Sembilan; sekali gus berkhidmat sebagai Nazir Masjid Jamek Ampangan dan Masjid Jamek Bandar Seremban. Beliau juga menjadi pengelola dan pemegang amanah harta wakaf Datuk Bandar Sungai Ujung.

Penghargaan Negara

26- Sumbangan beliau kepada masyarakat, parti dan agama mendapat perhatian dari kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan. Sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri telah mengkurniakannya dengan beberapa anugerah. Antarnya Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 1963; Jaksa Pendamai (JP), 1964; dan Dato’ Setia Negeri Sembilan(DSNS), 1973; sementara kerajaan pusat pula memberinya pingat Ahli Mangku Negara (AMN), 1965. Untuk jawatan Dato’ tersebut, pada mulanya beliau enggan menerimanya, tetapi akhirnya terpaksa akur menerima anugerah tersebut apabila Tun Abdul Razak sendiri menaliponnya meminta agar beliau menerimanya.

Sakysiah dan Akhlak

27- Al Marhum mempunyai keperbadian yang sangat tinggi. Beliau sangat menghormati dan menyayangi pemimpin, orang alim, orang yang lebih tua darinya dan juga murid-murid Shaikh Muhamad Said. Beliau seorang yang sangat pemaaf dan pemurah serta bersedia membantu orang yang memerlukan bantuan. Beliau seorang yang setia dengan sahabat- sahabatnya dan sedia berkorban untuk mereka. Beliau mempunyai sifat kasih sayang yang sangat tinggi. Satu ketika hujan lebat dan lembu-lembu kami di luar kandang kesejukan. Beliau telah mengarahkan kereta Mercerdesnya dikeluarkan dari garaj dan lembu-lembu tersebut dibawa berteduh ke dalam garaj kereta tersebut.

28- Al Marhum adalah seorang yang setia dan menyayangi pemimpin. Al Marhum Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail adalah antara nama pemimpin-pemimpin UMNO yang kerap meluncur dibibirnya. Beliau melihat Tengku sebagai pemimpin yang berpandangan jauh (stratigis) yang membuat keputusan bagi menjaga kepentingan dan kesinambungan kepimpinan bangsa Melayu di negara ini. Beliau melihat Tun Abdul Razak sebagai pemimpin yang gigih berkorban lapan belas jam sehari untuk membasmi kemiskinan rakyat di pedalaman dan luar bandar. Setiap kali gambar atau berita mengenai Tun Abdul Razak disiarkan di television, beliau akan mengangkat tangannya berdoa untuk al Marhum Tun.

29- Beliau melihat Tun Ismail pula sebagai lambang pemimpin yang bersih dari rasywah. Satu ketika beliau menziarahi Tun Dr Ismail. Tiba-tiba mereka dikunjungi dua lelaki dengan membawa dua bag plastik yang penuh. Tun telah mengangkat tongkatnya, lalu menghalau lelaki tersebut; lantas memaklumkan kepada al Marhum bahawa plastik tersebut mengandungi wang yang ingin disogokkan kepadanya untuk memperolehi semula kewarganegaraan Malaysia yang telah dibatalkan dari mereka.

30- Antara rakan dan anak didik politik beliau ialah Senator Dato Abdul Rahim, YBhg Tan Seri Sanusi Junid dan Dahlan Aman dan al Marhum Shaikh Hamid bin Shaikh Muhamad Said.

Kisah-kisah Syiasah/ Politik dari al Marhum

31- Berbagai kisah suka duka politik tanah air yang berlaku di era al Marhum masih aktif di arina politk diceritakan kepada ahli keluarganya sebagai sejarah, peringatan dan tauladan kepada mereka. Ini merangkumi kisah-kisah beliau bersama-sama dengan Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan dengan lain-lain pemimpin UMNO di peringkat nasional.

32- Ada beberapa kisah menarik yang al Marhun dengar dari mulut Tengku Abdul Rahman. Al Marhum pernah bertanyakan Tengku Abdul Rahman sebab beliau mengambil keputusan drastik mengeluarkan Singapura dari Malaysia, walhasil negara itu telah pun berada di dalam Malaysia. Tengku menyatakan bahawa beliau satu ketika berdiri di pusat bandar Singapura dan bertanya kepada pemimpin-pemimpin UMNO Singapura pemilik bangunan-bangunan tinggi yang terdapat di sekeliling kawasan itu. Beliau diberitahu satu persatu pemiliknya. Mendengar jawapan mereka, beliau bagitu kecewa kerana tidak ada satu bagunan pun milik orang Melayu. Beliau juga meluahkan rasa kehampaannya kepada rakyat Melayu Singapura. Justru, mereka tidak memberikan UMNO walaupun satu kerusi untuk dewan negeri ataupun Parlimen. Walhasil, beberapa kawasan majoriti Melayu terdapat di pulau tersebut. Bagi Tengku tanpa sokongan mereka, Singapura yang dikuasai oleh Parti Tindakan Rakyat (Petir) pimpinan Lee Kuan Yew hanyalah beban dan masalah kepada Malaysia.

33- Apabila Tun Abdul Razak memilih Datuk Hussin Onn, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan sekali gus melantiknya menjadi pemangku Timbalan Presiden UMNO dengan membelakangkan Tun Sa’adon Jubir dan En. Muhammad Khair Johari, AL Marhum menyatakan Tun membuat pilihan berasaskan, pertama keturunan, justru Hussin Onn adalah dari keluarga bangsawan Johor yang telah dikenali integritinya. Kedua, Johor adalah kubu kuat UMNO yang mempunyai lebih 200 orang perwakilan. Ini akan memantapkan kedudukan Tun di dalam parti, dan sekali gus melenyapkan ura-ura mereka yang ingin menentangnya.

34- Satu lagi faktur penting yang Tun bisikkan kepada al Marhum ialah tindakan dan permohonan Tun Sa’adon meminta Kerajaan Malaysia membebaskan beberapa orang anggota tentera dan sukarelawan Indonisia yang ditangkap setelah mendarat di Johor. Bagi Tun, tindakan tersebut adalah satu yang tidak boleh diterima; satu tindakan yang membelakangkan kepentingan negara dan sekali gus menjejaskan petrotisma Tun Sa’adon. Tun, sebagai pemimpin tertinggi UMNO melihat sifat yang ada pada Tun Sa’adon tersebut boleh menjejaskan kemerdekaan negara ini. Ini terbukti jelas, apabila Malaysia menghadapi kekalutan politik selepas 13 May 1969, Tun menolak tawaran Indonisia untuk menghantar tenteranya bagi membantu mengamankan kerusuhan yang berlaku.

Amalan Harian Dan Hobi

33- Amalan zikir kegemaran al Marhum ialah ‘kalimah tayyibah’, dan surah al Iklas. Amalan sebelum tidurnya ialah memaafkan mereka yang melakukan kesalahan terhadapnya dan meminta Allah mengampunkannya di atas kesalahan yang dilakukan pada hari tersebut. Hobi utama al Marhum ialah membaca dan menternak. Al Marhum juga seorang pemain gasing yang handal.

Disediakan bersama oleh anak-anak Al Marhum Dato’ Haji Muhamad Redza.

22hb Jun 2005.

view all 15

Haji Mohd Redza Hj Muhammad Said's Timeline

1912
1912
1992
April 3, 1992
Age 80
Kampung Bukit, Batu 1 3/4 Jalan Sikamat, Ampangan, Seremban, Malaysia, Negeri Sembilan
April 4, 1992
Age 80
Makam Sheikh Muhamad Said,, -, Malaysia, Negeri Sembilan, Seremban
????