Tengku Mahmood Mahyiddeen bin Tengku Abd Kadir Kamaruddin

public profile

Tengku Mahmood Mahyiddeen bin Tengku Abd Kadir Kamaruddin's Geni Profile

Share your family tree and photos with the people you know and love

  • Build your family tree online
  • Share photos and videos
  • Smart Matching™ technology
  • Free!

About Tengku Mahmood Mahyiddeen bin Tengku Abd Kadir Kamaruddin

Tengku Mahmood Mahyiddeen diputerakan pada 30hb.Oktober.1908. Beliau adalah anakanda yang bongsu hasil perkahwinan ayahandanya Tengku Abdul Kadir Kamaruddeen iaitu raja melayu yang terakhir memerintah negeri Patani dengan isteri ketiganya dari Kelantan bernama Cik Maimunah. Ketika berusia empat tahun Tengku Mahmood Mahyiddeen kehiklangan bondanya lalu dipelihara oleh ayahandanya bersama permaisuri pertama Tengku Kembang. Beliau dibawa ke Kota Bharu apabila memasuki alam persekolahan.Tengku Mahmood Mahyiddeen mempunyai pengalaman belajar di sekolah agama, Siam dan Inggeris malah merupakan anak melayu bangsawan pertama menerima pendidikan Inggeris di Penang Free School.

Ketokohan Tengku Mahmood terserlah sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya,pengkritik sosial,pembela masyarakat melayu terutama rakyat Kelantan yang miskin,tokoh pendidik,tokoh ketenteraan dan juga tokoh politik.

Ketokohan beliau dalam bidang pendidikan bermula apabila dilantik sebagai pemangku nazir sekolah-sekolah melayu negeri Kelantan. Beliau bercita-cita untuk membaiki taraf pelajar dan keadaan sekolah melayu di seluruh negeri Kelantan .Beliau berazam untuk membawa perubahan kepada sistem pendidikan yang sedia ada di samping mengadakan pembaharuan besar terhadap sekolah-sekolah melayu luar bandar.

Tengku Mahmood Mahyiddeen adalah orang yang bertanggung jawab mengubah persepsi masyarakat melayu Kelantan pada masa itu yang tidak membenarkan anak-anak gadis mereka bersekolah. Beliau berazam untuk mendirikan sekolah-sekolah perempuan melayu. Maka pada tahun 1937 ,atas daya usaha Tengku Mahmood Mahyiddeen ,sekolah perempuan pertama di Kelantan didirikan dengan nama Zainab English School,kini Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 1 . Selain itu,Tengku Mahmood juga adalah orang penting dalam penubuhan Sekolah Sultan Ismail pada bulan April 1936. Tengku Mahmood kemudian dilantik sepenuhnya ke jawatan nazir sekolah melayu iaitu suatu kedudukan paling tinggi dalam perkhidmatan peringkat negeri ketika itu. Seterusnya ke jawatan Penguasa Pendidikan Negeri Kelantan pada tahun 1938 malah beliau adalah anak melayu pertama ke jawatan tersebut di seluruh semenanjung.

Tengku Mahmood juga adalah orang yang bertanggung jawab membawa kemajuan dalam meninggikan mutu pelajaran dalam kalangan guru sekolah. Beliau telah mengadakan kursus iaitu Normal Class di seluruh negeri Kelantan. Kelas ini diadakan setiap Sabtu dan dibimbing oleh guru-guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris. Beliau turut memperkenalkan penyusunan semula sukatan pelajaran dan pentadbiran sekolah.

Tengku Mahmood Mahyiddeen telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 12hb.Februari 1954 sesudah solat Jumaat di Pantai Semut Api. Kematian secara tiba-tiba dalam usia 46 tahun itu amat mengejutkan seluruh rakyat Kelantan malah turut memeranjatkan sahabat handainya daripada perbagai keturunan sama ada dari Tanah Melayu, Patani, Siam, India, Sri Langka, England, Arab Saudi dan lain-lain lagi. Walaupun telah tiada namun gelaran “Harimau Malaya”:yang diberikan kepada beliau akan tetap kekal dalam lipatan sejarah negara.

Sebagai mengenang segala usaha dan jasa yang telah beliau taburkan dalam bidang pendidikan negeri Kelantan maka sebuah sekolah menengah telah dipilih untuk diabadikan sempena nama beliau. Sekolah terpilih itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyiddin Pasir Pekan,Wakaf Bharu ,Kelantan.

view all

Tengku Mahmood Mahyiddeen bin Tengku Abd Kadir Kamaruddin's Timeline