Sultan Muhyiddin (Sultan Brunei ke14: 1673-90)

public profile

How are you related to Sultan Muhyiddin (Sultan Brunei ke14: 1673-90)?

Connect to the World Family Tree to find out

Sultan Muhyiddin (Sultan Brunei ke14: 1673-90)'s Geni Profile

Share your family tree and photos with the people you know and love

  • Build your family tree online
  • Share photos and videos
  • Smart Matching™ technology
  • Free!

About Sultan Muhyiddin (Sultan Brunei ke14: 1673-90)

14. SULTAN MUHYIDDIN (TM 1673 - 1690)

Baginda adalah Pg Bendahara Raja Bongsu Muhyiddin (sebelum menjadi Sultan) dan merupakan anakanda kepada Al-Marhum Sultan Abdul Jalilul Akbar [Sultan Brunei-ke10, 1598-1659] dengan pasangan baginda Radin Mas Ayu Siti Aisyah. Dikatakan baginda mempunyai perwatakkan yang kebilangan bijak dan gagah. Ketika pemerintahan bagindalah berlakunya peperangan saudara antara baginda dengan Sultan Abdul Hakkul Mubin. Pada mulanya Pg Bendahara Pg Muda Muhyiddin memberi cadangan kepada Sultan Abdul Hakkul Mubin untuk mendiami Pulau Chermin dengan alasan Bandar Brunei pada ketika itu tidak aman disebabkan kekacauan oleh orang-orang darat. Apabila Sultan Abdul Hakkul Mubin bersemayam di pulau itu, maka Pg Bendara Muhyiddin pun mengisytiharkan dirinya menjadi Sultan Brunei pada tahun 1673 dengan gelaran Sultan Muhyiddin. Oleh yang demikian, pada ketika itu Brunei mempunyai dua orang Sultan. Tujuan Sultan Muhyiddin berbuat demikian adalah semata-mata bertujuan menuntut bela di atas kematian ayahanda mertuanya iaitu Al-Marhum Sultan Hj Muhammad Ali [Sultan Brunei ke-12, 1660-1661] yang dibunuh oleh Sultan Abdul Hakkul Mubbin. Tambahan lagi, zaman baginda Datu Dakula juga datang ke Brunei untuk membela ayahandanya tetapi dapat diselesaikan oleh abangnya (Pg Bendahara Pg Muda Amir ibni Sultan Abdul Hakkul Mubin). Ketika pemberontakan di Pulau Chermin, baginda meminta Sultan Sulu untuk membantu baginda dalam menewaskannya dan menyerahkan Sabah Timur kepada Sultan Sulu. Kekacauan yang dilakukan oleh orang-orang darat semasa baginda memerintah di Bandar Brunei adalah sebenarnya atas suruhan baginda Sultan Muhyiddin yang bertujuan untuk menghuru-harakan Bandar Brunei.

Setelah Perang Saudara atau Perang Pulau Chermin tamat pada tahun 1673, maka Sultan Muhyiddin pun tetaplah menjadi Sultan Brunei ke-14. Rakyat dan penduduk Brunei yang dahulunya berpecah belah telah kembali bersatu padu menumpukan taat setianya yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Muhyiddin. Begitu juga untuk merapatkan dan memesrakan balik hubungan keluarga yang retak akibat perang yang berlaku itu, baginda telah memelihara dan melayan dengan baik putera-puteri dan ahli keluarga Sultan 'Abdul Hakkul Mubin yang masih hidup, malah salah seorang putera Sultan 'Abdul Hakkul Mubin yang bernama Pg Muda Amir, telah baginda lantik menjadi Pg Bendahara untuk membantu baginda menjalankan urusan hal ehwal pemerintahan dan pentadbiran negeri. Disebutkan, setelah baginda melantik Wazir, Cheteria dan Manteri-Manteri menurut Adat Istiadat Diraja Brunei turun-temurun, maka bagindapun hendak berpuspa dan menitahkan tukang-tukang membuat Mahkota baru menurut bentuk dan rupa Mahkota asal yang ditembakkan oleh Sultan 'Abdul Hakkul Mubin ke laut Pulau Keingaran, tetapi tukang-tukang yang dititahkan itu tidak dapat mengingat rupa bentuk Mahkota tersebut. Menurut tradisi lisan, air di tempat Mahkota jatuh ditembakkan itu jernih, kilauan dan bayangnya nampak daripada permukaan air, namun demikian apabila diaturkan untuk menyelaminya, maka penyelam itupun hilang tidak lagi timbul-timbul. Oleh itu baginda pun menitahkan supaya didatangkan empat orang seni ukir dari luar negeri Jawa untuk memeta (melukis) gambar Mahkota asal itu daripada permukaan air. Setelah berusaha keras, dengan bantuan orang Brunei yang biasa melihat Mahkota itu, para pengukir itupun telah berjaya melukis reka bentuk dan menempa (membuat) sebuah Mahkota yang seakan-akan serupa dengan Mahkota asal yang ditembakkan oleh Sultan 'Abdul Hakkul Mubin ke laut itu, tetapi malangnya, setelah Mahkota siap, mereka yang dititahkan itupun meninggal dunia.

Diriwayatkan, kira-kira dua tahun selepas Sultan Muhyiddin berpuspa, iaitu pada tahun 1675, baginda pun berangkat ke Kelaka. Pada masa baginda bersemayam di Kelaka ini, anakanda saudara baginda bernama Raden Bima ibni Sultan Muhammad Tsafiuddin ibni Sultan Tengah ibni Sultan Muhammad Hasan yang terkenal dengan nama Sultan Muhammad Tajuddin telah singgah mengadap baginda. Keberangkatan Raden Bima ini dialu-alukan oleh baginda dengan penuh penghormatan. Tatkala Raden Bima menyatakan hasratnya hendak berpuspa dan menziarahi kaum keluarga di Brunei, maka Sultan Muhyiddin pun membawanya bersama-sama berangkat ke Brunei. Pada masa di Brunei, Raden Bima telah dilayan oleh Sultan Muhyiddin dengan penuh kemesraan, bukan hanya sebagai ahli keluarga yang baru berjumpa, tetapi juga diraikan dengan penuh Adat Istiadat Diraja Brunei sebagai tetamu Diraja dari Sambas. Dalam majlis yang beradat istiadat, Sultan Muhyiddin telah menganugerahkan kepada Raden Bima berbagai-bagai Alat Kebesaran Kerajaan, antaranya Payong warna keemasan, Payong Ubor-Ubor, Tombak, Changkah, Keris, Pedang, Kedudukan Dian, Serbang, Gegatar, Puan Tarian, Pundi-Pundi (Badal Ayam), Putu, Tipa (dibuat daripada tembaga), Bintang Patian lengkap dengan cawannya (buatan China), Naubat dan Gendang Jaga-Jaga termasuk Nafiri, Nakara, Serunai dan Gendang Labek yang dilengkapi dengan beberapa orang pengendangnya. Pada masa Raden Bima (Sultan Muhammad Tajuddin) di Brunei ini, Sultan Muhyiddin telah menentukan panggahan (sempadan) Sambas dan Matan, iaitu antara Tanjung Datu dan Batu Belat adalah pegangan Sambas, dan selepas itu adalah tanah Matan.

Setelah Raden Bima berangkat balik ke Sambas, Sultan Muhyiddin dan para pembesar baginda sentiasa bermesyuarat, bukan sahaja bermesyuarat untuk membaiki hal ehwal pentadbiran negara, tetapi juga mengenai dengan masalah yang berkaitan dengan tuntutan bantuan orang Suluk dalam Perang Saudara (Perang Pulau Chermin), kerana Sultan Suluk waktu itu telah mendakwa bahawa negeri-negeri di sebelah utara Brunei iaitu Paitan, Sugut, Mempayang, Palawan, Balabak dan negeri-negeri di kepulauan yang berhampiran dengan Pulau Brunei adalah kepunyaan Suluk sebagai balasan terhadap pertolongan mereka mengalahkan sewaktu perang Pulau Chermin. Dakwaan Sultan Suluk ini dengan tegas ditolak oleh Sultan Muhyiddin, dengan alasan pada masa perang sengit itu berlaku orang Suluk yang diperbantukan itu tidak sepenuhnya menjalankan perjanjian yang disepakati, melainkan mereka bersembunyi di Pulau Keingaran, hanya setelah Pulau Chermin dikalahkan oleh pihak Brunei, barulah mereka mendarat ke Pulau Chermin, dan kerja mereka hanya merampas dan mengumpulkan harta benda orang Pulau Chermin termasuk seorang gundik Sultan 'Abdul Hakkul Mubin dan putera baginda dibawa balik ke Suluk sebagai harta rampasan.

Sejak dakwaan itu ditolak oleh Sultan Muhyiddin, isu tuntutan itupun tidak kedengaran lagi, namun demikian di pihak Suluk secara diam-diam telah berpegang kepada perjanjian asal, iaitu jikalau mereka berjaya membantu mengalahkan Pulau Chermin, wilayah utara Pulau Brunei yang mengadap ke Suluk dari Kimanis ke sebelah utara (Pulau-Pulau Palawan, Bangi, Balambangan dan lain-lain) adalah milik mereka. Setelah tuntutan Suluk terhadap Sabah ditolak oleh Sultan Muhyiddin, kira-kira pada tahun 1688, iaitu setelah 15 tahun Perang Saudara (Perang Pulau Chermin) tamat, timbullah satu kekacauan di Teluk Brunei, iaitu angkatan Suluk yang diketuai oleh Datu Dakula ibni Sultan 'Abdul Hakkul Mubin telah membinasakan dan mengusir pelaut-pelaut Brunei sehingga mereka yang lalu lalang di Teluk Brunei itu menghadapi kesukaran dan kesusahan mencari makan. Tatkala perkara ini dihadapkan ke hadapan Majlis Sultan Muhyiddin, baginda berasa risau kalau-kalau luka lama berdarah kembali, tetapi walau bagaimanapun menurut pandangan dan firasat baginda bahawa baginda yakin luka lama itu tidak akan kambuh (hidup balik), kerana kaum keluarga Al-Marhum Sultan 'Abdul Hakkul Mubin sudahpun mesra dan ramai yang telah bersemanda (pertalian kekeluargaan yang terjalin oleh ikatan perkahwinan) mengikut tali perkahwinan dengan keluarga baginda, lebih-lebih lagi Pg Muda Amir ibni Sultan 'Abdul Hakkul Mubin yang baginda arak menjadi Pg Bendahara itu telah menumpahkan taat setianya yang tidak berbelah bahagi kepada baginda.

Pada masa perkhabaran Datu Dakula mengamuk di Teluk Brunei itu sampai ke pengetahuan Pg Bendahara Pg Muda Amir, maka iapun naik mengadap Sultan Muhyiddin menjunjung menawarkan diri untuk mengeluarinya. Sultan Muhyiddin amat terharu terhadap sikap, semangat dan keprihatinan Pg Bendahara Pg Muda Amir yang tidak camah mata itu. Maka untuk keamanan negeri dan kesejahteraan rakyat tanpa ragu-ragu baginda telah memperkenankannya dan bagi jaminan keselamatan dan menghindarkan sesuatu bahaya atau perkara yang tidak diingini berlaku, baginda telah mengaturkan beberapa orang gagah perkasa daripada pihak baginda untuk mengiringkan Pg Bendahara Pg Muda Amir mengeluari angkatan Suluk itu. Pada masa angkatan Brunei yang diketuai oleh Pg Bendahara Pg Muda Amir hendak merapati angkatan Suluk, keadaan menjadi tegang, kedua-dua belah pihak telah bersiap sedia untuk mengadakan serbuan. Kemudian dalam keadaan yang gawat itu, dari jauh pihak Brunei telah memberitahu orang Suluk supaya mereka jangan bertindak memulakan pergaduhan sebelum Ketua Angkatan Brunei berjumpa dengan Ketua Angkatan Suluk. Maksud pihak Brunei itu telah diterima oleh pihak Suluk, kerana pada penglihatan mereka maksud pihak Brunei itu baik, dan benar-benar berhajat untuk menjumpai Ketua Angkatan Suluk.

Apabila perahu Ketua Angkatan Brunei dan perahu Ketua Angkatan Suluk itu berdekatan, maka dengan cergas Pg Bendahara Pg Muda Amir melompat ke perahu Ketua Angkatan Suluk lalu menangkap Datu Dakula, dan memperkenalkan dirinya, yang dia adalah putera Al-Marhum Sultan 'Abdul Hakkul Mubin. Setelah kedua-dua saling kenal-mengenali, mereka pun berpeluk-pelukan sambil menceritakan perihal masing-masing yang sudah lama berpisah. Setelah Pg Bendahara Pg Muda Amir menceritakan perihal kedudukan dirinya dan keluarga hidup aman bahagia di bawah pemerintahan Sultan Muhyiddin, maka Pg Bendahara Pg Muda Amir pun membawa masuk Datu Dakula ke Brunei mengadap Sultan Muhyiddin. Kemudian atas kehendak dan perkenan Sultan Muhyiddin yang dijunjung oleh Pg Bendahara Pg Muda Amir, Datu Dakula pun menetap di Brunei. Bersempena hari Datu Dakula menyembahkan persetujuannya menetap di Brunei itu, iapun diarak oleh Sultan Muhyiddin menjadi Pg Temenggong bergelar Pg Temenggong Sahibul Bahar Datu Dakula berkuasa ke atas rantau sebelah timur utara laut dan mana-mana daerah takluk jajahannya. Sejak itu bertambah-tambahlah makmur dan masyhurlah Negeri Brunei, dan Pg Temenggong Datu Dakula kekallah diam di Brunei sehingga ia mangkat dan dimakamkan di Makam Diraja Sungai Kianggeh, sementara sebahagian orang Suluk yang menjadi pengikut-pengikut dan pengiring-pengiringnya ada yang balik ke Suluk membawa beritanya ke Suluk, manakala sebahagian yang lain terus bersama-samanya diam di Brunei.

Setelah yang keruh dijernihkan, pentadbiran negeri dapat disusun dengan sempurna, rakyat kembali hidup bersatu dan bermuafakat, maka pada saat dan ketikanya yang baik, Sultan Muhyiddin pun telah menghantar utusan ke Sambas menjunjung iparnya Pg Muda Bungsu ibni Sultan Hj Muhammad Ali bersama-sama puteranya Pg Muda 'Alam berangkat balik ke Brunei. Kemudian tidak lama selepas sampai dan duduk bersama ahli keluarganya di Brunei, Pg Muda Bungsu inipun diarak oleh Sultan Muhyiddin menjadi 'Raja Bendahara'. Menurut Adat Istiadat Diraja Brunei pada zaman dahulu, gelaran 'Raja Bendahara' ini dikurniakan kepada seseorang yang bakal menjadi Sultan dan Yang Di-Pertuan. Contoh pada ketika zaman Sultan Saiful Rijal [Sultan Brunei ke-7, 1533-1581] baginda mengurniakan 'Raja Bendahara' kepada Pg Bendahara Sakam kerana mengenang jasa baktinya mempertahankan Brunei daripada pencerobohan Sepanyol. Pengurniaan gelaran 'Raja Bendahara' kepada Pg Muda Bungsu ini dilakukan oleh Sultan Muhyiddin, bukan sahaja bersebab pada waktu itu Pg Bendahara Pg Muda Amir masih ada, tetapi ia dilaksanakan adalah bermaksud hendak memulangkan balik takhta kerajaan kepada yang berhak, iaitu ahli waris ayahanda mertua baginda Sultan Hj Muhammad Ali, kerana Sultan Muhyiddin menyifatkan diri baginda hanya menjadi pemangku takhta kerajaan sahaja. Sebenarnya, Sultan Muhyiddin ini adalah seorang Sultan Brunei yang bijak dan lutanan, dalam pemerintahan baginda mempunyai pandangan jauh, dan sangat berminat dalam sejarah. Dalam Salasilah Raja-Raja Brunei versi Dato Imam Yaakub, baginda pernah menitahkan kepada Dato Imam Yaakub untuk menyurat salasilah datuk nenek baginda untuk diketahui oleh anak cucu baginda. Kemudian titah itu disambung pula oleh Sultan Husin Kamaluddin, dan pada tahun 1775 disambung lagi oleh Sultan Muhammad 'Alauddin, dan selepas itu dengan titah Sultan Muhammad Tajuddin sejarah sultan yang disusun oleh Dato Imam Yaakub itu telah dititahkan kepada Pehin Khatib Hj Abd Latif supaya disuratkan di atas batu untuk segala anak cucunya raja-raja yang mempunyai Takhta Mahkota dan Kerajaan dalam kandang daerah negeri Brunei. Para sejarawan Brunei menyatakan batu itu adalah Batu Tarsilah bertarikh 2 Zulhijjah tahun 1221 Hijrah, hari Rabu bersamaan 8 Februari tahun 1807.

Pada zaman baginda juga, baginda berjaya mengatasi tipu helah angkatan Sepanyol yang berpura-pura datang melawat Brunei. Semasa hayat baginda Sultan Muhyiddin berkahwin dengan Raja Isteri Sari iaitu puteri kepada kepada Al-Marhum Sultan Hj Muhammad Ali. Perkahwinan mereka berputerakan beberapa zuriat mereka adalah Pg Anak Badaruddin, Pg Digadong Shah Mubin, Pg Sharifuddin dan Pg Jumat. Akhirnya baginda mangkat pada tahun 1690 dan terkenal dengan nama Marhum Bungsu. Takhta kerajaan baginda telah diganti oleh Sultan Nasruddin ibni Pg Muda Besar Abdullah, kerana Raja Bendahara Pg Muda Muhammad 'Alam yang ditimang-timang untuk mengganti baginda terlebih awal mangkat daripada baginda. Menurut riwayat orang Sepanyol, semasa baginda lindung pada tahun 1690 itu, baginda telah meninggalkan seorang putera gahara yang baru berumur 11 tahun. Putera baginda itu dikenali dengan nama Pg Digadong Pg Muda Shah Mubin. Justeru Sultan Muhyiddin kerap menyifatkan diri baginda hanya selaku pemangku sultan sahaja, sebab itulah apabila Raja Bendahara Pg Muda Muhammad Alam yang dicadangkan menjadi pengganti baginda terlebih awal mangkat, maka baginda telah menurunkan takhta kerajaan baginda kepada anak saudara baginda Sultan Nasruddin ibni Pg Muda Besar Abdullah ibni Sultan Abdul Jalilul Akbar yang banyak menyumbangkan jasa terutama dalam masa perang saudara yang berlaku selama 12 tahun di antara tahun 1661 hingga tahun 1673 itu.

والله أعلمُ